am@hmetro.com.my
Muar: Peniaga makanan ringan dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak angkat perempuan kepada adik iparnya, tiga tahun lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun selepas meneliti hujahan serta rayuan kedua-dua pihak bagi mensabitkan tertuduh dengan kesalahan terbabit.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Batu Pahat, jam 3 pagi, pada April 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengetua sekolah mangsa pada 13 Ogos lalu memaklumkan pelajar itu dirogol abang iparnya yang juga tertuduh.
Siasatan awal polis mendapati mangsa adalah anak angkat kepada adik ipar tertuduh dengan kejadian berlaku ketika remaja itu terjaga dan ke tandas untuk membuang air.
Ketika itu, tertuduh berada di ruang tamu menonton televisyen. Tertuduh mengekori mangsa ke dalam biliknya sebelum menarik seluar mangsa.
Pada masa sama, tertuduh menutup mulut mangsa dengan tangan agar jeritannya tidak didengari ahli keluarga lain.
Mangsa pernah menceritakan kejadian kepada ibu angkatnya, namun tidak diendahkan sebaliknya dituduh membuat fitnah.
Kejadian itu terbongkar apabila pihak sekolah menjumpai nota ditulis mangsa dan mangsa menceritakan kejadian selepas ditanya sebelum pihak sekolah membuat laporan polis.
Laporan dibuat pada 1 September lalu dan mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




