Peniaga kedai makan didakwa cabul pekerja spa

Peniaga kedai makan didakwa cabul pekerja spa

am@hmetro.com.my

Melaka: Peniaga kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pekerja spa minggu lalu.

Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 21 tahun itu yang sedang menyapu sampah di hadapan sebuah premis di Taman Satu Lagenda, di sini, pada Sabtu lalu, kira-kira jam 11.40 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmud menawarkan jaminan RM6,000 bagi membebaskan tertuduh sementara menunggu perbicaraan kes itu selesai.

Bagaimanapun, Mohamad Azrullah yang tidak diwakili peguam memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan seminimum mungkin atas alasan menanggung keluarga selain satu-satunya individu yang bekerja.

Tertuduh yang masih bujang itu turut memaklumkan tiada penjamin hadir kerana ahli keluarganya tidak mengetahui kes dihadapinya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top