Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda RM100,000, penjara

Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda RM100,000, penjara

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan amalan mengenakan caj tambahan atau caj tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi mengikut undang-undang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang mewajibkan mana-mana pihak mempamerkan, mengiklankan atau menyiarkan harga barangan atau perkhidmatan dengan memasukkan semua cukai, duti, cukai kerajaan dan apa-apa caj lain dalam harga yang dipaparkan.

Menurut beliau, amalan memaparkan harga asas tanpa mendedahkan caj sebenar bukan saja mengelirukan, malah menjejaskan hak pengguna untuk membuat keputusan pembelian secara telus dan bermaklumat, khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman (F&B) serta e-dagang.

“Prinsip ini turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum yang menghendaki harga akhir dipaparkan dengan mengambil kira komponen harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna membuat pengesahan tempahan.

“Jika berlaku pelanggaran mengikut Seksyen 10B Akta 723, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan penalti denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PAS-Mersing) mengenai langkah kementerian membendung amalan caj tersembunyi berbanding harga yang diiklankan.

Armizan memaklumkan kementeriannya turut mempunyai punca kuasa yang kukuh di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].

“Di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta 599, adalah menjadi kesalahan sekiranya peniaga memberikan gambaran mengelirukan berhubung harga barangan atau perkhidmatan.

“Seksyen 12(3)(c) memperuntukkan sesuatu gambaran harga adalah mengelirukan sekiranya harga dipaparkan memberikan tanggapan merangkumi semua perkara, sedangkan terdapat caj tambahan yang dikenakan secara berasingan.

“Malah, Seksyen 9 dan 10 akta berkenaan turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat serta ciri sesuatu barang atau perkhidmatan sama ada di premis fizikal mahupun urus niaga perniagaan secara elektronik,” jelasnya.

Menurut beliau, kesalahan di bawah Akta 599 boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 145 akta sama, iaitu denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu berdepan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Sebagai langkah memastikan kepatuhan di peringkat premis, KPDN turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang mewajibkan penyedia perkhidmatan mempamerkan senarai harga serta caj yang dikenakan dengan jelas dan mudah dilihat.

Sehubungan itu, Armizan memberi jaminan bahawa KPDN akan meneruskan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala di samping menyeru pengguna agar sentiasa menyemak jumlah harga akhir sebelum membuat bayaran dan menyalurkan aduan rasmi sekiranya mendapati terdapat amalan caj tersembunyi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top