Peniaga makanan lagak wanita disiasat

Peniaga makanan lagak wanita disiasat

am@hmetro.com.my

Kota Bharu : Seorang peniaga makanan disiasat pihak berkuasa agama negeri susulan aduan berkenaan lelaki itu yang dikatakan berlagak seperti wanita.

Lelaki berusia 25 tahun itu bagaimanapun belum lagi dituduh sebaliknya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu di sini, bagi urusan lanjutan bon jaminan sementara kertas siasatan dilengkapkan.

Peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd Salleh, berkata, anak guamnya dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada 9 November lalu dan dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM3,000 bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.

“Sepatutnya hari ini pertuduhan dijalankan di bawah Sekyen 19 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) (Negeri Kelantan) 2019 namun terdapat beberapa isu teknikal antara pihak pendakwa dan penguat kuasa menyebabkan kertas pendakwaan masih belum lengkap.

“Jadi kita minta panjangkan bon jaminan dan akan memohon kepada pihak penguat kuasa, iaitu Jaheaik supaya tempoh bon jamin dilanjutkan dan amaunnya dikekalkan

“Sekiranya masih tiada pertuduhan, kita akan hantar representasi kepada pihak pendakwaan atau penguat kuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhammad Syarafi berkata, tindakan dibuat berdasarkan aduan awam terhadap satu video yang dimuat naik ke dalam satu media sosial tahun lalu, dipercayai diambil dari siaran langsung Orang Yang Disyaki (OYDS) yang dikatakan berlagak wanita.

Beliau berkata, video berkenaan dikatakan memberi tanggapan tidak elok kepada negeri menyebabkan OYDS dipanggil pihak berwajib.

“Bagaimanapun pihak kami belum mengenal pasti video yang dimaksudkan memandangkan anak guam memiliki banyak video di media sosial terbabit.

“Kita perlu tunggu kertas pertuduhan untuk mengetahui butiran sebenar termasuk tarikh dan kandungan video yang dikaitkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top