Peniaga maut dirempuh pemandu 'microsleep' di lampu isyarat

Peniaga maut dirempuh pemandu 'microsleep' di lampu isyarat

am@hmetro.com.my

Melaka: Hasrat seorang peniaga untuk mengambil anak orang kurang upaya (OKU) dari sekolah tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi ketika berhenti di lampu isyarat Persimpangan Padang Jambu, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu membabitkan enam kenderaan, termasuk tiga motosikal menyebabkan tiga individu cedera manakala mangsa maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Bukit Beruang, sedang berhenti di persimpangan.

Bagaimanapun, katanya, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Bandar Melaka ke Bukit Beruang dipercayai mengalami microsleep sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh lima kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

“Mangsa yang menunggang motosikal parah di kepala, muka dan badan, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa lain termasuk dua lagi penunggang motosikal masing-masing mengalami kecederaan di kaki, manakala pemandu Proton Saga mengalami luka di dahi dan sakit di bahu, selain pemandu BMW3 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, keputusan ujian pernafasan dan saringan dadah terhadap pemandu kereta yang juga pekerja logistik itu didapati negatif, namun sampel darah diambil untuk ujian toksikologi lanjut di Jabatan Kimia Melaka.

“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada saksi bebas yang berada di belakang kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.

“Pemandu terbabit juga akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman esok,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian.

Terdahulu tular video kejadian berdurasi 41 saat tular di media sosial, memaparkan Perodua Myvi itu dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum merempuh lima kenderaan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top