Peniaga mengaku miliki 148 senjata tiruan

Peniaga mengaku miliki 148 senjata tiruan

am@hmetro.com.my

Kemaman: Seorang peniaga kedai mainan mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 148 senjata tiruan Ahad lalu.

Tertuduh, Wan Muhammad Faezyl Wan Mansor, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Muhammad Faezyl didakwa memiliki sembilan laras senjata palsu tiruan di premis perniagaannya di Bandar Baru Kijal, Kemaman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Januari kira-kira jam 2.30 petang dan didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan.

Mengikut seksyen terbabit jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum hingga satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa mengikut seksyen sama kerana didapati memiliki 139 laras senjata tiruan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh yang sama, kira-kira jam 3.45 petang di kediamannya, di Kerteh Kemaman.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Sharifah Amirda kemudiannya menetapkan tarikh jatuh hukuman pada 13 Januari ini dan membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top