Peniaga pasar malam terima 'durian runtuh' RM1 juta

Peniaga pasar malam terima 'durian runtuh' RM1 juta

Kuala Lumpur: Seorang peniaga pasar malam tidak menyangka bakal bergelar jutawan sekelip mata selepas terpilih sebagai jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) ke-104 semalam.

Mohamad Hasta Karim, 42, menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM1 juta selepas diumumkan pemenang Cabutan Bonanza Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi September.

Menurutnya dia mulanya tidak percaya khabar baik disampaikan rakan-rakannya sehinggalah pegawai BSN membuat panggilan telefon.

“Ketika terima panggilan itu pun saya masih risau, takut scam (penipuan), tetapi kini barulah saya percaya,” katanya ketika majlis penyerahan cek di Kuching, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata beliau sehingga kini, seakan tidak percaya akan menjadi jutawan ke-104 BSN, hasil usahanya yang menyimpan sejak 10 tahun lalu.

Mohamad Hasta berniaga di Pasar Malam Serian, dan beliau adalah pemenang ke-6 dari Sarawak yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.

Katanya, wang kemenangan itu akan digunakan untuk membawa isteri dan anak-anaknya menunaikan umrah, selain disimpan dan mengembangkan perniagaannya.

Sehubungan itu, beliau menasihati anak muda agar membuat simpanan di BSN kerana melalui simpanan itu, mereka berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Katanya jika diikutkan beliau sendiri tidak terbayang bakal memenangi RM1 juta kerana hanya menyimpan untuk kegunaan sewaktu terdesak.

“Mulalah menyimpan di BSN, selain untuk masa depan dan untuk kegunaan untuk kecemasan, kita

juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Sehingga September tahun ini, seramai 3.7 juta rakyat seluruh Malaysia adalah pemegang SSP BSN dan Daripada jumlah tersebut, 375,182 adalah dari Sarawak.

Bagi cabutan pada November depan, cabutan akan adalah dikhaskan kepada guru dan pekerja barisan hadapan, manakala untuk Disember pula, hadiah pemenang Cabutan Bonanza ini akan ditambahkan kepada RM2 juta untuk satu pemenang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top