Peniaga rugi RM800,000 tender makanan tak wujud

Peniaga rugi RM800,000 tender makanan tak wujud

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Hasrat seorang peniaga meraih keuntungan hasil pelaburan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM800,000 selepas ditipu sindiket menawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah yang tidak wujud.

Mangsa berusia 48 tahun mendakwa ditipu suspek selepas mengadakan pertemuan di daerah ini, 7.30 malam tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam pertemuan itu, mangsa ditawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah bermula 1 Julai 2023 hingga 31 Oktober 2025.

Beliau berkata, suspek turut menawarkan keuntungan sebanyak 17 peratus daripada pelaburan itu sebelum lelaki itu bersetuju menyertainya.

“Bermula 1 hingga 4 Oktober tahun lalu, mangsa menyerahkan cek secara berperingkat atas nama suspek menerusi serahan tangan serta memasukkan dalam mesin cek deposit.

“Mangsa pada masa sama dijanjikan akan mendapat pulangan keuntungan dalam masa terdekat, namun sehingga laporan dibuat semalam, mangsa tidak menerima sebarangan keuntungan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata, mangsa yang mula sedar ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top