Penilaian semula Ramadan ketika beraya

Penilaian semula Ramadan ketika beraya

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan menjalani ibadah puasa pada Ramadan.

Ia adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan perayaan yang diiktiraf oleh syariat. Namun dalam keghairahan menyambutnya, tidak sedikit yang terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan nilai dan adab Islam. Akibatnya, hari raya yang sepatutnya menjadi lambang ketaatan bertukar menjadi medan kelalaian. Islam mengajar kita bahawa setiap kegembiraan perlu disandarkan kepada ketaatan kepada Allah. Firman Allah SWT: “Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka hendaklah dengan itu mereka bergembira. Ia lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan”. (Surah Yunus: 58)

Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa tafsiran bagi ayat ‘Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka hendaklah dengan itu mereka bergembira’ merujuk kepada apa yang datang kepada mereka daripada Allah berupa petunjuk dan agama yang benar iaitu Islam, maka hendaklah mereka bergembira dengannya, kerana itulah yang paling layak untuk mereka bergembira. Kemudian, ayat ‘Ia lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan’ bererti bahawa petunjuk Islam tersebut lebih baik daripada harta dunia dan segala perhiasannya yang sementara dan pasti akan lenyap. Ayat ini mengingatkan bahawa kegembiraan seorang Muslim seharusnya lahir daripada nikmat iman dan rahmat Allah, bukan semata-mata pada kemewahan, pakaian atau hiburan yang melalaikan. Kata Imam Abu Jaafar bahawa perkataan qul (katakanlah) merujuk kepada Rasulullah SAW untuk mengingatkan bagi mereka yang mendustakan Baginda dan apa yang diturunkan kepadanya (al-Quran). Penulis melihat konteks peringatan ayat ini juga terkena pada kita sekarang sekiranya melakukan perkara yang bertentangan perintah Allah SWT, tidak sahaja pada golongan terdahulu ketika itu.

Realitinya hari ini, sebahagian sambutan hari raya seolah-olah kembali kepada pemahaman jahiliah. Antaranya ialah budaya bermegah-megah dan berlebih-lebihan. Contohnya ketika seseorang berpakaian yang tidak lagi menepati tuntutan syariat. Hal ini kerana tidak sedikit yang memakai dalam keadaan ketat, jarang atau menyerlahkan bentuk tubuh sehingga menimbulkan fitnah. Bahkan lebih teruk lagi, sengaja ditayang dan dijaja merata di media sosial. Lalu dilihat orang supaya diberikan kredit atau pujian. Sedangkan Rasulullah SAW telah memberi ancaman keras tentang golongan wanita yang berpakaian, tetapi seolah-olah bertelanjang. Baginda SAW bersabda: “Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat, lelaki yang di tangan mereka ada cemeti (seperti ekor lembu) yang mereka gunakan untuk memukul manusia; yakni secara zalim dan wanita yang berpakaian, tetapi telanjang, yang berjalan berlenggok-lenggok, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya”. (Hadis Riwayat Muslim) Hadis ini bukan bertujuan menafikan kegembiraan berhias pada hari raya, tetapi Nabi SAW memberi satu garis panduan bahawa perhiasan seorang Muslim mesti dipandu oleh syariat yang mencerminkan sifat malu dan kesederhanaan.

Selain itu, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram juga semakin dianggap perkara biasa dalam majlis rumah terbuka, acara hiburan atau sesi bergambar yang melampaui batas. Dalam keghairahan bergembira, batas pergaulan yang ditetapkan syariat sering kali diketepikan. Allah SWT telah mengingatkan dalam kalam-Nya: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman agar mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka”. (Surah al-Nur: 30) Kemudian, dalam firman-Nya juga menyebut: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya”. (Surah al-Nur: 31) Ayat ini mengajar orang Mukmin bahawa menjaga batas pergaulan adalah sebahagian daripada iman, bukan sekadar adat atau pilihan peribadi. Lebih-lebih lagi, selepas terlatihnya diri mereka dalam ‘madrasah takwa’ pada Ramadan lalu.

Di samping itu, budaya pembaziran ketika menyambut hari raya juga semakin menjadi-menjadi. Ada yang sanggup berbelanja secara berlebihan demi pakaian, perhiasan rumah atau jamuan yang akhirnya banyak terbuang. Sedangkan Islam sangat menekankan sikap sederhana dan menolak pembaziran. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan”. (Surah al-Isra’: 27) Ayat ini menunjukkan bahawa pembaziran berkait dengan akhlak dan tanggungjawab seorang hamba terhadap nikmat yang diberikan oleh Allah. Begitu juga fenomena saling menunjuk-nunjuk kemewahan di media sosial; dengan mempamerkan pakaian mahal, dekorasi rumah atau jamuan mewah sehingga kadangkala mengundang perasaan riyak dan persaingan yang tidak sihat.

Imam al-Tabari menafsirkan ayat ini bahawa orang yang membazirkan harta mereka pada maksiat kepada Allah, membelanjakannya di jalan selain ketaatan kepada-Nya, ialah sekutu syaitan. Mereka seolah meniru syaitan dalam menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada mereka (harta) dengan meninggalkan kesyukuran dan menyalahgunakannya. Sedangkan hakikat hari raya adalah untuk merapatkan ukhuwah, menyuburkan sifat rendah hati dan mensyukuri nikmat yang ada.

Inilah roh sebenar Aidilfitri yang wajar dihidupkan kembali. Hari raya sepatutnya menjadi kesinambungan tarbiah Ramadan, bukan titik kembali kepada kelalaian. Jika sepanjang Ramadan kita melatih diri menundukkan pandangan, menjaga lidah, mengawal nafsu dan memperbanyakkan ibadah, maka nilai itu sepatutnya terus dipelihara selepasnya.

Justeru itu, marilah kita menilai semula cara kita menyambut Aidilfitri. Lalu bergembiralah, berhiaslah dan raikanlah hari kemenangan ini dengan apa yang diredai Allah. Jangan sampai kegembiraan yang sementara menghilangkan keberkatan yang sepatutnya mengiringi hari yang mulia ini. Disebut dalam kitab Lataiful Ma’arif oleh Imam Ibnu Rajab al-Hanbali: “Hari raya mereka ialah hari diampunkan dosa-dosa mereka. Bukanlah hari raya itu bagi orang yang memakai pakaian baharu, tetapi hari raya itu bagi orang yang ketaatannya bertambah. Bukanlah hari raya itu bagi orang yang berhias dengan pakaian dan tunggangan, tetapi hari raya itu bagi orang yang diampunkan dosa-dosanya. Pada malam hari raya, dibahagi-bahagikan pembebasan (daripada neraka) dan keampunan kepada para hamba. Maka sesiapa yang mendapat bahagian daripadanya, baginya itulah hari raya. Jika tidak, maka dia ialah orang yang terusir dan jauh (daripada rahmat).” Maka, sesungguhnya keindahan sebenar hari raya bukan terletak pada kemewahan pakaian atau kemeriahan hiburan, tetapi pada hati yang bersih, hubungan yang dipulihkan dan ketaatan yang terus dipelihara kepada Allah SWT.

Penulis Pensyarah Jabatan Bahasa Arab Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Islam Melaka (UNIMEL)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top