Peningkatan daya saing dunia bukti usaha perbaiki kecekapan buah hasil – PM

Peningkatan daya saing dunia bukti usaha perbaiki kecekapan buah hasil – PM

izawan@mediaprima.com.my

Kazan (Rusia): Kejayaan Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh International Institute for Management Development (IMD) membuktikan usaha memperkukuh kecekapan dan meningkatkan tahap pelaksanaan terus membuahkan hasil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan ketara sebanyak lapan anak tangga berbanding kedudukan ke-23 pada tahun lalu menunjukkan hasil kerja keras semua pihak bagi meletakkan ekonomi negara pada tahap yang lebih berdaya saing di peringkat global.

“Laporan yang baru diterbitkan hari ini menunjukkan kedudukan daya saing Malaysia terus melonjak ke tangga ke-15.

“Alhamdulillah, ini bermakna kita meningkat lapan anak tangga dari tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini mencerminkan fokus jelas kerajaan untuk memperbaiki tahap kecekapan.

“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh penjawat awam serta rakan-rakan dalam Jemaah Menteri yang sentiasa mengawasi dan membantu usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media penutup kepada media Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan rasmi yang dikeluarkan IMD, Malaysia mencatatkan lonjakan membanggakan ke kedudukan ke-15 daripada keseluruhan 70 ekonomi global yang dinilai.

Prestasi mampan ini mengekalkan momentum kecemerlangan negara selepas pasaran domestik merekodkan peningkatan 11 anak tangga pada tahun lalu untuk menduduki tempat ke-23, berbanding tangga ke-34 pada tahun 2024.

Penarafan IMD itu berasaskan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Menurut IMD, pengukuhan merentasi kesemua teras berkenaan menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia pada tahun ini.

Malaysia menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14. Kecekapan perniagaan turut melonjak 16 anak tangga ke tempat ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga ke kedudukan ke-33.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top