Peningkatan kadar pengangguran: Amaran kepada kerajaan supaya segera bertindak

Peningkatan kadar pengangguran: Amaran kepada kerajaan supaya segera bertindak
Peningkatan kadar pengangguran: Amaran kepada kerajaan supaya segera bertindak

Mohamed Shafie

SHAH ALAM – Peningkatan kadar pengangguran negara sebanyak 3.0 peratus kepada 511,800 orang adalah membimbangkan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, jumlah melebihi setengah juta orang itu tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya satu amaran kepada kerajaan untuk bertindak segera.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor mempengaruhi peningkatan kadar itu termasuk sesetengah syarikat mengecilkan operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global termasuk krisis di Selat Hormuz, pengambilan pekerja asing dan amalan penyumberan luar tenaga kerja.

“Keadaan ini sangat membimbangkan kerana Malaysia sebuah negara yang sedang menuju status negara maju dengan ekonomi yang baik, tetapi rakyat masih berdepan masalah pengangguran.

“Masalah ini tidak boleh dibiarkan dan sebab itu kita perlu bertindak dari sekarang, jangan sampai terlewat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamed Shafie berkata, terdapat majikan yang menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan atas alasan pekerjaan tersebut tidak lagi relevan, tetapi menggantikannya dengan pekerja asing selepas beberapa bulan.

“Perkara seperti ini memang ada berlaku dan kemungkinan ia sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan pengangguran,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan pengangguran tidak boleh dikaitkan dengan satu faktor sahaja kerana terdapat rakyat tempatan yang memilih pekerjaan untuk disesuaikan dengan keperluan kehidupan dan keluarga.

“Mereka mahu bekerja dan pada masa sama mahu lebihkan masa bersama keluarga serta menjaga kebajikan anak dan isteri.

“Justeru, semua faktor ini perlu diteliti berdasarkan fakta yang lebih kukuh melalui kajian yang menyeluruh,” katanya.

Scroll to Top