Penipuan pelaburan emas: Polis lengkapkan siasatan terhadap Siti Hajartul Haini

Penipuan pelaburan emas: Polis lengkapkan siasatan terhadap Siti Hajartul Haini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan ke atas Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, dan enam lagi yang ditahan berhubung penipuan pelaburan emas ‘pa jewellery’ dan ‘paddy jewellery’ membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek masih dalam tahanan reman dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek yang sebelum ini direman di Kedah sudah diserahkan ke kontinjen lain bagi meneruskan siasatan.

Fisol berkata, hasil laporan itu, tujuh suspek ditahan termasuk wanita yang juga dalangnya berusia 37 tahun di negeri ini.

“Enam lagi suspek termasuk suami wanita itu dan adik perempuannya serta adik iparnya iaitu lelaki, manakala tiga lagi dipercayai ejen pelaburan emas terbabit berusia 29 hingga 62 tahun,” katanya.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 lebih rendah dari pasaran sejak dua bulan lalu.

Sebelum ini sejumlah 69 laporan polis telah diterima berhubung penipuan pelaburan itu dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM48.5 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top