Penipuan pelaburan saham patuh syariah: Mohon siasatan bersepadu, menyeluruh

Penipuan pelaburan saham patuh syariah: Mohon siasatan bersepadu, menyeluruh

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa siasatan menyeluruh dilaksana bagi kes penipuan pelaburan saham didakwa patuh syariah membabitkan 296 individu dengan kerugian cecah RM83 juta.

Siasatan secara bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) demi keadilan buat mangsa, sekali gus mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, siasatan perlu diselaras bagi mengelak sebarang percanggahan maklumat dan melancarkan prosedur pendakwaan.

Menurutnya, ia penting supaya dalang dan individu bertanggungjawab tidak bolos, termasuk melarikan diri ke luar negara yang akan menyukarkan sebarang tindakan lanjut kelak.

“Apa yang kita harapkan adalah supaya ada satu siasatan yang bersepadu di antara keempat-empat agensi kerana kita syak bahawa wujud kesalahan yang boleh disiasat mengikut undang-undang yang dikawal selia oleh agensi berkenaan

“Sepatutnya ada penyelarasan, sebab kesan kepada mangsa ini besar, ada yang kehilangan wang persaraan, duit simpanan perniagaan, malah terpaksa berhutang.

“Kita risau dalang utama sempat lesap ke luar negara kerana tiada tindakan pantas,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaburan itu ditawarkan empat syarikat didakwa tidak mempunyai kelulusan SC untuk menawarkan saham atau mengeluarkan prospektus sah, selain turut menggunakan tokoh agama dan penasihat syariah.

Tiga daripada syarikat berkenaan didakwa menawarkan pelaburan saham ‘preference share’, disasarkan kepada pelabur berpendapatan tinggi, manakala sebuah lagi, menawarkan saham biasa kepada lebih 50 orang pelabur, yang secara teknikalnya sudah dikira sebagai saham awam.

Menurutnya, ada yang mendakwa mereka dikecualikan daripada prospektus kerana menyasar pelabur berprofil tinggi, sedangkan hakikatnya tetap memerlukan kelulusan.

Beliau berkata, selain itu, syarikat terbabit juga tidak memiliki akaun pelaburan amanah yang dikawal selia oleh pemegang amanah berdaftar dengan SSM yang menimbulkan keraguan besar terhadap kesahihan dan keselamatan pelaburan ditawarkan kepada orang ramai.

“Justeru kita menyerahkan tiga surat kepada JSJK bagi memohon siasatan dipercepatkan termasuk meminta kertas siasatan diserahkan segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan

“Kami juga berharap pihak berkuasa mempertimbangkan semula beberapa laporan yang sebelum ini berstatus tiada tindakan lanjut (NFA) kerana ada elemen baru yang boleh membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top