Penjaga kaunter muzium didakwa amang seksual kanak-kanak warga Korea

Penjaga kaunter muzium didakwa amang seksual kanak-kanak warga Korea

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pekerja muzium di sebuah hotel di Batu Ferringhi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan berusia enam tahun, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Chong Khay Tee, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut kertas pertuduhan, pemuda terbabit didakwa melakukan amang seksual membabitkan mangsa seorang kanak-kanak warga Korea Selatan berusia enam tahun di sebuah muzium di sebuah hotel di sini, pada jam 4 petang, 31 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Lee menawarkan kadar jaminan RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang daripada mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh memohon jaminan dikurangkan dan kelihatan seperti terpinga-pinga sepanjang berada di mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tertuduh tidak dibenarkan menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top