Penjara 31 bulan kerana langgar perintah sekatan

Penjara 31 bulan kerana langgar perintah sekatan

bhnews@bh.com.my

JEMPOL: Seorang lelaki dipenjara 31 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau selepas mengaku bersalah melanggar perintah sekatan dan melarikan diri pada Oktober tahun lalu.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhi hukuman berkenaan selepas tertuduh Muhammad Syafiq Chiros, 29, dari Petaling Jaya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang menjalani perintah sekatan selama dua tahun bermula Julai 2020 hingga 6 Julai 2022 didapati tiada di rumah di Rumah Rakyat 2, Rompin ketika pemeriksaan dijalankan anggota polis pada jam 9.15 malam, 15 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didapati tiada di rumah tanpa kebenaran bertulis daripada ketua polis daerah dan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (2)(1)l Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Selepas enam bulan melarikan diri, tertuduh yang merasakan sudah ‘bebas’ berjaya ditangkap pada Isnin lalu ketika berada di sebuah rumah di Taman Putra Damai , Petaling Jaya.

Berdasarkan fakta kes tertuduh didapati melanggar syarat mengikut perintah pengawasan polis apabila dia perlu berada di rumah antara jam 8 malam dan 6 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top