Penjara 5 tahun jika sebar COVID-19 di Arab Saudi

Penjara 5 tahun jika sebar COVID-19 di Arab Saudi

JEDDAH: Individu yang menyebarkan COVID-19 secara sengaja dan merisikokan kesihatan awam di Arab Saudi akan dikenakan hukuman berat termasuk penjara.

Jabatan Pendakwa Raya Arab Saudi dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata individu yang disabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun dan denda sehingga SR500,000 (RM547,000), manakala warga asing akan diusir dan dilarang kembali ke negara itu.

Portal Arab News melaporkan sekiranya kesalahan itu berulang, hukuman akan digandakan.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa kesihatan memberi amaran mengenai lonjakan kes harian COVID-19 di Arab Saudi sejak beberapa minggu lalu yang dikatakan berpunca daripada sikap orang ramai.

Ia termasuk berhimpun di kawasan awam, perjumpaan melebihi kapasiti maksimum yang dihadkan serta tidak mematuhi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan membasuh tangan.

Arab Saudi mencatatkan kes baharu melebihi 1,000 untuk lima hari berturut-turut, dengan terbaharu 1,072 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 411,263 kes dikesan di negara itu sejak permulaan pandemik.

Riyadh merekodkan kes tertinggi dengan 477, disusuli Makkah (236) dan Wilayah Timur (164), manakala kawasan lain di negara itu merekodkan kurang 50 kes, dengan Baha dan Jouf masing-masing hanya mencatat 10 kes.

Arab Saudi turut merekodkan 9,874 kes aktif, dengan 1,224 berada dalam keadaan kritikal, selain 394,529 kes sembuh direkodkan.

Kadar kes sembuh di negara itu adalah 95.9 peratus. Jumlah kematian pula meningkat kepada 6,887 kes selepas sembilan lagi kes direkodkan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan hampir 22.9 peratus penduduk atau lebih lapan juta dos vaksin COVID-19 sudah diagihkan di 587 pusat vaksin di seluruh negara, dengan kapasiti pemberian vaksin 149,213 dos sehari. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top