am@hmetro.com.my
Seremban: Pengawal keselamatan dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas pertuduhan menunggang basikal dengan cuai sehingga berlakunya kemalangan maut, Mac tahun lalu.
Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah membuat keputusan itu selepas tertuduh, K Selva Natchathiram, 56, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang basikal itu di atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan.
Kesalahan itu dilakukan pada jam lebih kurang 2.55 petang di hadapan sebuah pasar raya di Taman Desa Anggerik, di sini, 27 Mac 2024.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibaca bersama Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 54(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara kerana tidak mampu membayar denda selain hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran.
Mahkamah mengarahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 29 Mei 2025.
Mengikut fakta kes, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika penunggang basikal terbabit dari Ampangan menghala ke Senawang.
Namun, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang basikal membelok ke simpang kanan dan tiba-tiba seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC datang dari arah bertentangan melanggarnya di bahagian tengah.s
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun cedera parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd