Penjarakan fizikal sukar dalam tren – Pengguna LRT

Penjarakan fizikal sukar dalam tren – Pengguna LRT

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan ramai pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) memasuki tren pada satu-satu masa, menyebabkan keadaan di dalamnya sesak dan penjarakan fizikal sukar dilakukan.

Tinjauan BH di Stesen LRT Masjid Jamek di sini, hari ini, mendapati keadaan sesak pada waktu puncak bermula jam 5.30 petang apabila orang ramai menggunakan tren itu untuk pulang ke rumah.

Terdahulu pengguna pengangkutan awam itu dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk memakai pelitup muka, berbaris di pintu masuk LRT dengan jarak satu meter, memeriksa suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

Bagi mengelakkan kesesakan teruk, pengunjung juga dilihat hanya dibenarkan memasuki kawasan LRT secara berperingkat dengan dipantau anggota polis bantuan dan kakitangan Prasarana.

Pengguna LRT, Atika Basarudin, 42, berkata masalah penjarakan fizikal dalam tren LRT, tidak dapat dielakkan kerana keadaan sesak.

“Sebelum masuk ke tren, memang semua orang akan beratur dan ada penjarakan fizikal sepatutnya.

“Namun apabila masuk ke dalam tren, penjarakan itu sudah tiada. Atas inisiatif untuk keselamatan diri, saya akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam lain jika orang terlalu ramai dalam tren,” katanya.

Kakak Atika yang juga pengguna LRT, Maria, 46, berkata kesesakan dalam tren mungkin berlaku kerana orang ramai bergegas menaikinya sebelum jam 7 malam.

“Ia kerana selepas jam 7 malam, selang masa kekerapan tren akan meningkat kepada 30 minit berbanding 15 minit.

“Orang tidak mahu menunggu lama. Oleh itu, ramai yang tidak kisah bersesak dalam tren,” katanya.

Jurutera, S Bala, 32, pula berkata beliau mengambil keputusan menaiki LRT untuk pulang ke rumah selepas waktu puncak berakhir.

“Saya habis kerja pada jam 6 petang, namun mengambil keputusan menaiki LRT selepas jam 7 malam kerana tidak mahu bersesak dalam tren,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan dilapor mengehadkan kapasiti penumpang bagi semua mod perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut, hingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum, berkuat kuasa Selasa lalu, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan SOP diperketatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top