Penjenamaan semula TH keperluan kritikal, beri khidmat lebih efisien

Penjenamaan semula TH keperluan kritikal, beri khidmat lebih efisien

TANJUNG MALIM: Penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH) yang menelan belanja sebanyak RM5.9 juta untuk tiga tahun merupakan satu keperluan kritikal bagi membawa badan berkanun itu lebih terkedepan selain memberi perkhidmatan lebih efisien.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berharap semua pihak dapat memberikan sokongan padu dan tidak sabotaj usaha (penjenamaan) itu yang memberikan anjakan paradigma terbaik pada TH.

“Kita kena memberikan sokongan padu dan jangan ada mereka-mereka yang cuba sabotaj. TH telah mendapat anugerah Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kerana pengurusan haji terbaik dunia. Kita ingin terbang dengan lebih tinggi, memberikan perkhidmatan terbaik.

“Penjenamaan semula ini merupakan salah satu daripada perancangan strategik utama supaya TH menjadi yang terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Multaqa Mahkamah Syariah Negeri Perak 2025 (MuM’S 2025) Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Raja Mazelan Raja Deraman.

Media melaporkan semalam, TH membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial yang kononnya terdapat isu dalam tadbir urus dan inisiatif penjenamaan semula TH.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif penjenamaan itu dilaksanakan untuk memperkukuh peranan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan, sekali gus membantu umat Islam menabung secara sistematik bagi menunaikan ibadah haji.

Katanya, pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Bumiputera Muslim namun pelaksanaan strategi penjenamaan memerlukan kepakaran teknikal daripada konsortium sokongan bagi memastikan keberkesanan operasi serta relevan dengan perubahan demografi semasa.

Berhubung MuM’S 2025 Zulkifli berkata, lebih 1,400 warga kehakiman syariah dari seluruh negara menyertai acara sukan itu yang melibatkan 18 acara sukan merangkumi pelbagai kategori seperti memanah, bola sepak, badminton, tarik tali dan boling. – UTUSAN

Scroll to Top