Penjenayah mati ditembak: 2 rakan diburu polis

Penjenayah mati ditembak: 2 rakan diburu polis

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat memburu rakan kepada suspek yang mati ditembak polis di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat dua lagi suspek disyaki turut terbabit dalam kes jenayah pecah kedai di Damansara, Petaling Jaya.

“Kedua-dua suspek itu dalam buruan polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro terdahulu melaporkan, seorang lelaki yang juga penjenayah dikehendaki dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau maut ditembak selepas merempuh kenderaan polis dan orang awam di Kampung Baru Kundang, Rawang.

Lelaki berusia 30-an yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) itu disyaki terbabit dalam kes pecah kedai di Damansara.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, suspek enggan memberhentikan kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya lalu bertindak mengundurkan kenderaan secara laju dan merbahaya sebelum merempuh kenderaan polis serta orang awam yang berada di lokasi.

Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek sehingga mengakibatkan kenderaannya terbabas.

Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, Hussein dilaporkan berkata, polis menyelamatkan lelaki warga Indonesia yang menjadi mangsa culik suspek.

Katanya, mangsa dipercayai diculik di kawasan Salak South, Cheras dan ditemui selamat ketika operasi di Kundang.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, lelaki terbabit sudah membuat laporan mengenai diculik suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, selepas diselamatkan, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan Kontinjen Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Polis selamatkan lelaki warga asing disyaki diculik suspek ditembak mati

Sangka kemalangan, rupanya penjenayah ditembak

Lelaki ditembak mati miliki 26 rekod lampau, pernah ditahan Poca

Lelaki disyaki penjenayah maut ditembak polis di Kampung Baru Kundang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top