am@hmetro.com.my
Jitra: Seorang lelaki yang mempunyai lebih 40 rekod jenayah dan rakannya ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di susur masuk Lebuhraya Utara Selatan (Bandar Darul Aman) pagi tadi.
Berikutan itu, laluan keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Bandar Darul Aman menghala ke selatan ditutup kepada pengguna jalan raya selama empat jam bermula jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah bersama Bukit Aman sedang melakukan rondaan ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan dan menahan kenderaan itu untuk melakukan pemeriksaan.
Beliau berkata, bagaimanapun kenderaan itu tidak memberi kerjasama sebelum suspek melepaskan tembakan hingga berlakunya berbalas tembakan dengan polis di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun dua penjenayah terbabit maut dalam kenderaan itu akibat ditembak polis dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu turut menemui dua pistol jenis revolver dan semi auto serta beberapa butir peluru hidup, sebilah parang dan beberapa alatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah mereka,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Fisol berkata, hasil semakan terhadap suspek yang berusia 41 tahun itu mendapati suspek mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau namun identiti seorang lagi suspek masih belum diketahui berikutan tiada pengenalan diri.
Beliau berkata, pihaknya percaya, mereka ini terbabit dalam kumpulan besar yang melakukan jenayah kekerasan seluruh negara.
“Antaranya yang membabitkan kes pengedaran dadah, gangsterisme, pecah kilang dan samun.
“Hasil siasatan lanjut, kita percaya kumpulan ini dipercayai mula aktif sejak tahun 2020 lagi.
“Setakat ini, Unit Foresik turut menemukan tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian namun proses siasatan masih sedang dijalankan,” katanya.
Fisol berkata, mayat kedua-dua suspek itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus yang turut berada di lokasi kejadian berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai antara dalam kumpulan penjenayah yang terbabit dalam pelbagai jenis jenayah berat.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek ini terbabit dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor.
“Kumpulan terbabit dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan polis akan mengambil tindakan lebih agresif lagi selepas ini. Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih diteruskan lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd