Penjual jagung bakar cetus bibit perkauman ditegur

Penjual jagung bakar cetus bibit perkauman ditegur

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tidak boleh diterima serta dikompromi.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang memberi reaksi dan teguran itu menerusi ciapan di X susulan tular penjual jagung bakar meletakkan nota bertulisan tangan berbaur perkauman.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang bangsa, rakyat Malaysia perlu sentiasa menjaga kesejahteraan dan keamanan dengan tidak membenarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Wajib diberikan noktah kepada perbuatan seperti ini. Mohon semua junjung Rukun Negara sebagai amalan hidup terutamanya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.

“Kita seharusnya terus memupuk semangat saling menghormati dan memahami di kalangan rakyat,” ciapnya.

Aaron turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan dengan menghormati perbezaan yang wujud dan mengutamakan perpaduan demi kebaikan bersama.

Ciapan Aaron itu mendapat perhatian warganet yang menyifatkan perbuatan penjual jagung bakar berkenaan keterlaluan dan perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kerana bersikap berkauman.

“Wajib ambil tindakan Datuk… rakyat Malaysia sudah muak dengan perangai golongan ekstremis,” ciap pengguna X, Raja Mohd Shahrim.

“Terima kasih atas campur tangan segera Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang.

“Perkauman terang-terangan ini tidak boleh dibiarkan. Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan,” ciap seorang lagi pengguna X, Guru Syre.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top