latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan penjujukan genom bagi varian COVID-19 secara konsortium dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata langkah itu bagi meningkatkan kapasiti surveilan genom COVID-19.
“Konsortium ini menerima peruntukan RM300 juta untuk menjalankan penjujukan genom sebanyak 3,000 sampel dalam masa tiga bulan mulai Ogos ini.
“Antara kriteria pemilihan sampel adalah mempunyai nilai CT (cycle threshold), sampel daripada kes positif yang tinggi, kes kematian di rumah (BID), kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan beberapa kriteria lain,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Dr Adham berkata, ahli konsortium yang turut terbabit dalam surveilan ini adalah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan beberapa universiti termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




