KANGAR: Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam didakwa atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berkaitan bayaran memeluk Islam antara 2022 hingga 2024.
Tertuduh, Muhammad Nurhelmy Norman, 29, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhdi.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang bertugas di Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) didakwa dengan niat hendak memperdayakan prinsipal satu dokumen tuntutan bayaran memeluk Islam di mana pihak terlibat mempunyai kepentingan mengenainya.
Bagi pertuduhan pertama pada 2022, tertuduh didakwa memalsukan butiran bayaran RM3,500 bagi pendaftaran semula dua saudara baharu.
Pertuduhan kedua pada 2023 pula membabitkan tuntutan palsu RM40,000 untuk 15 saudara baharu, manakala pertuduhan ketiga pada 2024 membabitkan nilai RM91,500 bagi 33 saudara baharu.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di JAIPs, Kompleks Islam Perlis, Persiaran Jubli Emas di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah butiran palsu berkenaan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Salwa Ja’afar.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 ke atas tertuduh.
Peguam tertuduh bagaimapun merayu agar jumlah itu dikurangkan berikutan jaminan tersebut terlalu tinggi dan di luar kemampuan anak guamnya.
Selain itu, tertuduh juga telah ditahan reman SPRM sejak Januari lalu dan kini digantung tugas malah dia kini hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing bagi menyara isteri bersama seorang anak berusia tiga tahun 10 bulan.-UTUSAN




