PENS gesa libat urus komprehensif selesaikan isu ketidakselarasan Akta E-Hailing Sabah-APAD

PENS gesa libat urus komprehensif selesaikan isu ketidakselarasan Akta E-Hailing Sabah-APAD

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS) menggesa satu sesi libat urus komprehensif dilakukan berhubung isu ketidaksamaan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) antara Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Setiausaha PENS, Muhammad Rujhan Ahmad berkata, sesi libat urus itu perlu dilaksanakan membabitkan Kementerian Pengangkutan, LPKP Sabah dan APAD.

“Perkara ini mengambil kira perkembangan dan kekeliruan yang timbul susulan isu membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing Indrive dan Maxim pada Mei 2025 yang mana ketegasan penguatkuasaan di Semenanjung Malaysia tidak selari dengan pendirian yang diambil di Sabah.

“PENS turut merujuk kepada kenyataan media LPKP Sabah yang disiarkan di sebuah akhbar bertarikh 20 Mei lalu berhubung dua syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) dari Rusia, yang menyatakan “Arahan Henti Tak Terpakai Automatik di Sabah”.

“Ia mewujudkan kekeliruan antara dasar penguatkuasaan persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan berhubung isu ini kerana ia bukan sahaja menunjukkan ketidakpatuhan terhadap dasar dan perundangan, bahkan mewujudkan risiko terhadap keselamatan, kebajikan dan perlindungan pemandu e-hailing serta pengguna di Sabah.

Sehubungan itu, Muhammad Rujhan meminta penguatkuasaan e-hailing dilaksanakan secara serta-merta di seluruh Sabah dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana EHO yang beroperasi tanpa mematuhi lesen, syarat dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“PENS turut menggesa semua pihak yang berjanji untuk menjaga kepentingan serta kebajikan pemandu e-hailing sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah agar tampil bersama PENS mendesak kerajaan menyelesaikan isu ini dengan segera demi keselamatan dan kelangsungan pendapatan pemandu di Sabah.

“PENS komited memastikan dasar dan penguatkuasaan berkaitan sektor e-hailing di Sabah dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang.

“Pemandu dan pengguna perlu dilindungi daripada sebarang risiko yang berpunca daripada ketidakselarasan dasar antara wilayah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top