KABUL: Sekurang-kurangnya empat termasuk dua pensyarah universiti maut, manakala 11 cedera dalam kejadian serangan bom ke atas bas dinaiki mereka di utara ibu negara, semalam.
Kejadian itu berlaku apabila bas melanggar bahan letupan yang ditanam di jalan di bandar Charikar, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tareq Arian.
“Empat orang terbunuh dan 11 cedera,” kata Tareq kepada wartawan.
Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan sekurang-kurangnya dua yang terbunuh adalah pensyarah Universiti Al-Biruni, Kapisa dan mangsa yang cedera antaranya membabitkan dekan universiti dan beberapa pelajar.
Abdullah Abdullah, yang mengetuai proses damai negara itu, mengecam kejadian yang didakwa sebagai serangan pengganas.
Setakat ini belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dan Taliban menafikan mereka terbabit.
Keganasan meningkat dalam beberapa minggu terakhir ketika pasukan keselamatan negara dan Taliban bertempur hampir setiap hari di kawasan luar bandar dengan pemberontak terus berusaha menguasai lebih banyak wilayah ketika rundingan damai masih menemui jalan buntu.
Taliban menafikan membunuh orang awam, tetapi bom yang menyasarkan anggota pasukan keselamatan akhirnya menjadikan orang awam sebagai mangsa.
Kumpulan itu juga dituduh membunuh warga Afghanistan terkemuka termasuk wartawan, hakim, aktivis awam dan ahli politik dalam gelombang pembunuhan yang disasarkan di Kabul dan bandar lain.
Walaupun keganasan semakin meningkat, tentera Amerika Syarikat (AS) terus mengundurkan baki 2,500 tenteranya dari negara itu.
Bulan lalu, Presiden Joe Biden memerintahkan tentera AS untuk berundur menjelang 11 September, yang akan mengakhiri pembabitan AS dalam perang yang bermula hampir 20 tahun yang lalu berikutan serangan 11 September 2001. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




