Pensyarah palsu identiti, jalin hubungan dengan 10 penuntut

Pensyarah palsu identiti, jalin hubungan dengan 10 penuntut

Beijing: Pensyarah universiti di timur China dipecat kerana memalsukan identitinya disebabkan bercinta dengan penuntut wanita pelbagai latar belakang.

Pemecatan itu menyusul selepas siasatan dilakukan Kolej Dongchang Universiti Liaocheng, wilayah Shandong pada 13 April lalu, yang menerima maklumat mengenai salah laku tenaga pengajarnya dikenali Wu.

Surat aduan tidak bernama itu turut tular di media sosial negara berkenaan, lapor China NewsWeek.

Pengurusan kolej berkata, Wu yang masih bujang melanggar peraturan disiplin dan standard moral seorang tenaga pengajar.

Lelaki itu yang mengajar di sekolah ekonomi selama lapan tahun dikatakan memalsukan nama, umur, pekerjaan dan latar belakang keluarga ketika bercinta dengan lebih 10 penuntut.

Pada awal tahun ini, apabila seorang daripada wanita muda itu hamil, Wu memaksanya untuk menggugurkan kandungan.

Dia didakwa memberitahu wanita itu yang ibu bapanya mahu pasangan daripada keluarga berstatus, sementara bapa Wu mengugut untuk membunuh diri jika wanita berkenaan tidak menggugurkan kandungan.

Isi surat itu turut mendedahkan yang Wu menukar identitinya kerana sedar semua teman wanita yang didampingi tidak menepati kehendak ibu bapanya.

Dia juga maklum yang bakal dikenakan tindakan tatatertib susulan susulan tingkah laku tidak bermoral itu.

“Jika saya dipecat, saya akan ke Jinan (ibu negeri Shandong), bekerja di sana atau luar negeri,” kata Wu kepada individu yang didakwa menulis surat aduan itu.

Kisah Wu meraih perhatian meluas netizen China dengan sebahagian daripada mereka membela lelaki terbabit dan selebihnya mengecam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top