Pentadbir FB dipenjara, denda kerana hina al-Quran, Allahyarham Pak Lah

Pentadbir FB dipenjara, denda kerana hina al-Quran, Allahyarham Pak Lah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pentadbir akaun Facebook (FB) dihukum penjara 10 bulan dan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau dan menyinggung sensitiviti Islam pada April lalu.

John Mule anak Alai, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman di Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak, hari ini.

Mengikut pertuduhan, John yang juga pentadbir akaun FB ‘Bat Tuo Sai’ didakwa memuat naik komen mencerca serta penghinaan terhadap al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran FB Astro Awani berkaitan berita pemergian Perdana Menteri Kelima itu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat mengganggu mana-mana orang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan, memandang serius sebarang bentuk salah guna platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebarang kandungan bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top