KUALA LUMPUR: Dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang bakal berlangsung dalam tempoh lebih kurang setahun daripada sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan terus memacu ekonomi negara ke tahap status ‘negara maju’ bagi membuktikan kepada rakyat beliau layak untuk menerajui negara sekali lagi.
Pensyarah Kanan Ekonomi di Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berbekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin mengukuh di bawah pentadbiran beliau, Anwar pastinya mahu sokongan berterusan rakyat untuk beliau memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar baharu untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata, di bawah pemerintahan Perdana Menteri dalam tempoh 2022 hinggalah sekarang, Anwar berjaya dan mampu memancu negara Malaysia ke peringkat lebih tinggi berdasarkan lima faktor.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Antaranya ialah jumlah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bertambah dari tahun ke tahun yang mana pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Kedua, ia boleh dilihat dengan kemasukan syarikat-syarikat besar seperti Google yang masuk untuk melabur ke Malaysia terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi hijau,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026, DOSM memaklumkan ini disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan.
Menurut Bashir, faktor ketiga ialah dari segi kemampanan pelaburan domestik juga meningkat. Malaysia mencatat RM218.5 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Keempat, katanya, ia dari segi bagaimana Perdana Menteri membuat lawatan hampir 60 buah negara dalam tempoh pemerintahannya untuk membuka ruang dan peluang bagi Malaysia berada di persada antarabangsa untuk dikenali sekali lagi.
“Dulu zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia sudah dikenali, tetapi sekarang Anwar cuba bangkitkan balik Malaysia untuk dikenali sekali lagi dan menjadi jaguh Harimau Asia. Itu kita nampak usaha yang dibuat oleh Anwar.
“Kelima dalam tempoh pemerintahan lima tahun ini pun banyak masalah ekonomi dunia berlaku dengan perang, isu minyak, isu antara China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi Malaysia dapat menangani masalah ini dengan begitu baik dan secara diplomatik. Jadi memang Anwar ada aura beliau,” katanya.
Justeru, katanya, beliau melihat Anwar ada kecenderungan dan kemampuan untuk mentadbir negara dengan baik. – UTUSAN




