Petaling Jaya: Cabaran globalisasi dalam aspek moral, sosial, dan intelektual persekitaran masyarakat kini memerlukan pendidikan Islam sebagai panduan untuk membentuk minda masyarakat yang lebih terkehadapan. Pendidikan Islam itu sendiri adalah proses membentuk insan secara menyeluruh. Proses pendidikan ini mestilah berpandukan ayat-ayat Allah SWT dengan tujuan melahirkan hamba serta khalifah yang berilmu, berakhlak, juga yang mampu menunaikan tanggungjawab demi kemakmuran alam, berasaskan panduan Islam, seperti yang dinyatakan oleh Abdul Hadi Awang dalam Harakah Daily.
PENDIDIKAN ISLAM DAN PEMBENTUKAN MINDA
Pendidikan Islam mampu membentuk nilai, akhlak, dan pemikiran kritis dalam diri seorang muslim melalui pemahaman dalam pendidikan Islam itu sendiri. Hal ini kerana, unsur yang dibawakan oleh pendidikan Islam itu merangkumi tauhid dari dalam hati, seterusnya aspek fiqh yang memerlukan praktikal melalui ibadah solat, berpuasa, zakat dalam membersihkan harta, dan sebagainya. Pendidikan Islam juga merangkumi adab dan akhlak, sejarah Islam yang akan membuatkan diri insan itu lebih memahami dan menghargai dalam kehidupannya, serta menonjolkan tokoh-tokoh Islam yang dapat memberi inspirasi dalam hidup.
Pendidikan Islam bukanlah sekadar menghafal teori, malah ia mengajar untuk berfikir secara kritis yang mampu menilai maklumat dengan berkesan serta memahami isu semasa dari perspektif Islam. Oleh itu, hal yang berlaku di sekeliling kita, tidak akan mudah untuk dipersoalkan melainkan dengan mengaitkan perkara tersebut dari perspektif Islam.
KEPENTINGAN PENDIDIKAN ISLAM DALAM MASYARAKAT
Adakah kita peka bahawa individu yang berilmu dapat mempengaruhi masyarakat? Hal ini dapat dilihat melalui pemikiran individu yang mampu menyelesaikan masalah sosial masyarakat, secara tidak langsung, gejala sosial dalam masyarakat akan berkurang dengan adanya individu yang berilmu, malah berilmu dengan pendidikan Islam. Perkara ini juga dapat mengelakkan segala permasalahan dapat diselesaikan tanpa melibatkan aspek yang dimurkai Allah SWT. Perkara ini juga terbukti dalam surah Az-Zumar, yang menyebutkan bahawa individu yang berilmu, dengan individu yang tidak berilmu adalah suatu yang berbeza, yang menentukan tahap pemikiran mereka dalam menjalani kehidupan harian.
Pendidikan Islam ini juga dapat dibuktikan kepentingannya apabila terlibat dalam kejayaan global. Antaranya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memegang tanggungjawab pensijilan halal Malaysia dalam memastikan standard halal terjamin dan diiktiraf dalam peringkat global.
CABARAN PENDIDIKAN ISLAM DI ERA MODEN
Era yang moden ini melalui pelbagai cabaran termasuk budaya barat, kemajuan teknologi, serta globalisasi yang membuatkan pendidikan Islam ini tidak dijadikan kepentingan dalam hidup. Kesukaran yang dihadapi oleh dunia pendidikan Islam adalah pengaruh media sosial yang mementingkan keseronokan, membuatkan masyarakat tidak mengendahkan pendidikan Islam sebagai teras utama dalam hidup. Penyelesaian yang diperlukan untuk mengatasi pengaruh kuat media sosial adalah dengan melibatkan pendidikan Islam ke dalam media sosial. Pihak kementerian juga perlu mengambil serius soal pendidikan Islam dalam mata pelajaran seawal tadika. Tidak dilupakan, peranan ibu bapa yang merupakan sekolah pertama bagi seorang generasi yang sedang membesar.
Kesimpulannya, pendidikan Islam bukanlah menjadi pendidikan pilihan untuk setiap peringkat umur, malah menjadi kewajipan dan amanah bagi setiap umat Islam untuk menuntut ilmu pendidkan Islam tersebut. Hal ini bagi memastikan kehidupan kita tidak terpesong daripada ajaran agama, serta dapat menjadikan setiap muslim di dunia lebih berdisiplin dalam mengamalkan ilmu pendidikan Islam.
Oleh: Zatul Huda Binti Omar
Pelajar Tahun 3, Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.



