Kuala Lumpur: Isu kematian kanak-kanak autisme, adik Zayn Rayyan telah menghebohkan negara tahun lepas, walaupun demikian isu tersebut seolah-olah hilang seiring berjalannya masa sehingga isu berkaitan autisme mula dilupakan. Dalam era pembangunan negara yang semakin pesat, isu kebajikan dan pendidikan anak-anak autisme dalam kalangan keluarga B40 masih menjadi cabaran besar. Walaupun kerajaan telah menyediakan program melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), akses kepada rawatan dan pendidikan khas yang berkualiti dan mampu milik masih terbatas. Selain itu, jumlah kanak-kanak yang mengalami autisme semakin meningkat di Malaysia terutamanya selepas pandemik Covid-19. Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan pusat rawatan dan pendidikan khas autisme di luar sistem JKM dan PDK yang lebih inklusif, berkesan, dan mampu diakses oleh keluarga B40.
Ramai ibu bapa daripada golongan B40 berdepan dengan kos rawatan terapi yang tinggi, di mana sesi terapi seperti terapi pertuturan, terapi okupasi, dan terapi tingkah laku boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit sebulan. Selain itu, kebanyakan pusat pendidikan khas yang berkualiti berada dalam sektor swasta, menyebabkan ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan intervensi awal yang diperlukan.
Lebih menyedihkan, tidak semua PDK dan pusat JKM yang ada semasa kini mempunyai tenaga pakar yang mencukupi atau fasiliti lengkap untuk menangani keperluan unik setiap kanak-kanak autisme. Ramai kanak-kanak autisme daripada keluarga B40 yang dihantar ke sekolah khas untuk pelajar OKU di sekolah-sekolah Kerajaan. Walaupun kanak-kanak autisme ini dihantar ke sekolah khas, akan tetapi mereka tidak mendapat Pendidikan khas untuk pelajar autisme. Hal ini menyebabkan ramai anak autisme terpinggir dan gagal mencapai potensi mereka sepenuhnya.
Sebagai langkah progresif dan kepedulian kepada rakyat khususnya keluarga B40, kerajaan disarankan untuk menubuhkan sebuah pusat autisme bersifat holistik yang meliputi: pusat rawatan, pendidikan dan pelatihan khas autisme yang dibiayai secara bergotong royong menggunakan dana awam dan disokong oleh sektor swasta serta NGO. Pusat ini akan memberikan manfaat kepada komuniti B40 dengan kanak-kanak dan remaja Autisme iaitu:
- Rawatan dan Intervensi Mampu Milik
- Penyediaan terapi pertuturan, terapi tingkah laku, dan terapi okupasi dengan subsidi untuk keluarga B40 yang dtubuhkan dalam komuniti mengikut Kawasan.
- Penglibatan staf akademik dan pelajar universiti yang bersesuaian bidang dan memiliki kemampuan untuk menjalankan rawatan kepada kanak-kanak autisme.
- Kerajaan memberikan subsidi kepada individu, pelajar universiti, guru, pensyarah yang berminat mempelajari rawatan untuk autisme seperti ABA, dan wajib mengaplikasikan kemahirannya kepada kanak-kanak autisme di kawasan tempat tinggalnya dengan kos rendah bahkan percuma.
- Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam mengesan dan intervensi untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.
- Mewujudkan Pendidikan Khas yang Inklusif
- Membangunkan sistem pembelajaran homeschooling dan kurikulum yang fleksibel serta menyesuaikan pembelajaran mengikut tahap perkembangan anak autisme untuk pusat Pendidikan khas bagi kanak-kanak autisme dalam komuniti.
- Membangunkan Pusat Latihan Kerja untuk Remaja Autisme
- Ramai remaja autisme yang tidak dapat memasuki arus pendidikan biasa menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.
- Penubuhan pusat latihan kerja khas dan simulasi untuk membimbing remaja autisme dalam kemahiran vokasional seperti IT, kerja kreatif, dan bidang hospitaliti.
- Banyak industri dan Syarikat kurang berminat mengambil pekerja daripada individu yang mengalami kurang upaya mental seperti autisme.
- Kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan dan syarikat swasta untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan remaja autisme.
Inisiatif penubuhan Pusat Rawatan, Pendidikan, dan Latihan kerja khas dalam satu pusat untuk kanak-kanak dan remaja autisme ini bersesuaian dengan konsep Kerajaan Madani yang dipelopori oleh kepimpinan hari ini menekankan aspek keadilan sosial, keterangkuman, dan kesejahteraan rakyat. Penubuhan pusat rawatan, Pendidikan, dan Latihan kerja khas autisme yang murah tetapi berkesan mencerminkan prinsip-prinsip utama Kerajaan Madani, iaitu:
- Keterangkuman Sosial
Memastikan tiada golongan yang terpinggir dan tercicir dalam pembangunan negara, termasuk kanak-kanak dan remaja autisme dari keluarga B40.
- Kesejahteraan Rakyat
Menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi.
- Kemampanan Ekonomi
Melatih dan memberi peluang pekerjaan kepada remaja autisme supaya mereka boleh berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Penubuhan pusat rawatan, pendidikan dan Latihan kerja khas untuk kanak-kanak dan remaja autisme yang lebih holistik dan inklusif bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga B40 tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Ia bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga satu pelaburan dalam modal insan yang dapat memberi pulangan kepada negara melalui peningkatan produktiviti dan kesejahteraan sosial.
Kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat harus berganding bahu untuk merealisasikan agenda ini agar setiap anak autisme di Malaysia mendapat hak mereka untuk pendidikan dan masa depan yang lebih cerah. Dengan berlandaskan prinsip Kerajaan Madani, kita mampu membentuk masyarakat yang lebih penyayang, adil, dan progresif bagi generasi akan datang.
Penulis merupakan
Dr. Yohan Kurniawan
Pensyarah Kanan
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Email: yohan@um.edu.my