mahaizura@mediaprima.com.my
Dengkil: Permintaan tinggi bakat mahir dalam industri digital dijangka dapat dipenuhi dengan penubuhan Digital TVET & Careers Hub di sini, yang menawarkan program latihan dan laluan kerjaya dalam pelbagai bidang.
Inisiatif terbabit diterajui penyedia latihan, teknikal dan vokasional serantau (TVETAA) yang bergiat aktif memajukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dengan disokong pemain industri utama dan organisasi latihan yang bertujuan melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran digital kritikal.
Teras inisiatif ini, satu platform inovatif ClickED, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memadankan kemahiran dengan pekerjaan digital dalam program Place & Train yang dikendalikan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, penubuhan hab itu selari dengan perkembangan landskap digital di Malaysia yang semakin pesat sehingga permintaan untuk bakat mahir meningkat ke tahap luar biasa selain turut didorong dengan faktor pelaburan tempatan dan antarabangsa.
Katanya, masa depan pekerjaan di seluruh dunia sedang berubah seiring dengan kemajuan, dipercepatkan dengan teknologi baharu seperti AI, data raya, pengkomputeran awan dan keselamatan siber.
“Trend ini diketengahkan dalam Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Ekonomi Dunia 2023, yang menekankan kepentingan mendesak untuk menyediakan tenaga kerja digital yang berdaya saing.
“Kita akan terus bekerjasama dengan industri untuk mengenal pasti keperluan kemahiran semasa dan akan datang dengan agensi seperti MDEC dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai pemudah cara.
“Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti universiti, politeknik, kolej dan pusat GiatMARA untuk mengenal pasti bakat digital berpotensi tinggi untuk mengikuti program latihan seperti ini,” katanya di majlis Pelancaran Digital TVET & Careers Hub di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan MDEC Raymond Siva serta Pengarah Urusan TVETAA Datuk Bruce Lim Aun Choong.
Sementara itu, Bruce berkata, penubuhan Digital TVET & Careers Hub bertujuan merapatkan jurang antara permintaan untuk bakat digital dengan bekalan semasa dari institusi pendidikan.
“Kami menangani isu ini dengan menawarkan kelayakan yang diiktiraf industri serta pensijilan antarabangsa, memastikan bakat kita memenuhi keperluan pemain digital yang semakin berkembang.
“Hab TVET ini menawarkan gabungan pembelajaran akademik, peningkatan kemahiran dan latihan semula secara praktikal serta pemupukan minda yang progresif.
“Matlamat kami untuk menjadikan hab ini sebagai finishing school, mempersiapkan calon dari institusi rakan kongsi untuk kerjaya digital di dunia sebenar,” katanya.
Pada majlis sama, seramai 180 graduan menerima sijil Digital Boot Camp, sebuah program inovatif bagi memperkenalkan peserta kepada peluang kerjaya digital dan membina minda yang selari dengan kehendak industri.
Program itu menyaksikan sebilangan graduan berjaya menerima tawaran pekerjaan bersyarat daripada syarikat digital terkemuka.
Selain itu, Wilson turut menyaksikan majlis tandatangan perjanjian kerjasama antara TVETAA dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pelbagai politeknik serta pusat GiatMARA.
Beberapa syarikat terkemuka dan Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC) juga menyatakan sokongan mereka dengan menubuhkan makmal industri dan sumber di hab terbabit.
TVETAA mengukuhkan komitmennya melalui kerjasama dengan penyedia latihan digital terkemuka seperti K-Pintar, Thriving Talents, Peoplelogy dan Human Kapital, yang menawarkan pensijilan digital dan teknologi yang diiktiraf di peringkat global.
TVETAA turut mengendalikan Program kerjaya digital lain termasuk Program K-Youth Khazanah Nasional, HRDCorp, Program Bina Kerjaya Perkeso serta kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd