Penuh Emosi! Jom Throwback Perjalanan Ejen Ali Menjelang Filem ‘Ejen Ali The Movie 2’

Penuh Emosi! Jom Throwback Perjalanan Ejen Ali Menjelang Filem ‘Ejen Ali The Movie 2’

Filem animasi terhebat Ejen Ali The Movie 2 bakal menggegarkan pawagam bermula 22 Mei ini.

Dengan menyertai misi layar lebar yang penuh debaran bersama Ali, inilah masa paling sesuai untuk mengimbas kembali detik-detik penting perjalanan luar biasanya iaitu daripada seorang pelajar biasa kepada ejen MATA yang mempertahankan Cyberaya.

Daripada musim pertama hingga musim ketiga, termasuk filem pertama yang sarat dengan aksi dan emosi, semuanya telah kami himpunkan khas untuk anda.

Tunggu apa lagi? Spoiler alert buat anda yang masih belum khatam jalan cerita Ejen Ali setakat ini, dah tiba masa untuk aktifkan semula memori!

Permulaan Ali sebagai Ejen MATA

Siapa sangka yang rutin membeli bekal nasi lemak tempoyak udang dalam perjalanan ke sekolah akan menyebabkan Ali terjerumus dalam dunia perisikan!

Dalam musim pertama, Ali, seorang pelajar biasa, secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS, alat perisikan canggih milik agensi rahsia MATA yang memberi pemakainya persepsi seperti komputer.

Dia juga dikejutkan dengan realiti baharu apabila perlu menyesuaikan diri sebagai ejen muda dengan pasukan sokongan yang tak dijangka – bapa saudara Ali sendiri, Ejen Bakar, dan rakan sekelasnya, Ejen Alicia.

Ali berdepan ancaman daripada Uno, seorang penjahat yang menyimpan dendam lama dan berhasrat untuk menjatuhkan MATA.

Dari sinilah, mata Ali dibuka kepada betapa rumitnya situasi belakang tabir Cyberaya dan agenda tersembunyi pelbagai pihak yang nekad untuk menguasai bandar futuristik itu demi kepentingan mereka sendiri.

Walaupun masih muda, Ali membuktikan keberanian dan kebolehannya, sambil belajar erti tanggungjawab dan pengorbanan sebagai seorang ejen.

Mengukuhkan Persahabatan di Akademi MATA

Ali kini menyertai Akademi MATA, tempat latihan khas untuk ejen muda. Di sinilah dia berdepan tekanan, persaingan, dan cabaran untuk membuktikan kemampuannya.

Hubungan antara rakan-rakan diuji, mengajar mereka tentang kerjasama dan kepercayaan. Dan,  Uno kembali dengan pasukan Numeros seklaigus merancang untuk menyerang dan merampas IRIS daripada Ali.

Konflik Peribadi dan Dilema Kesetiaan

Filem sulung Ejen Ali memperlihatkan pergolakan emosi apabila teknologi IRIS kini boleh digunakan oleh orang lain.

Kedudukan Ali mula terancam, dan kehadiran Niki sebagai individu misteri dengan kaitan masa silam  menambah lagi pergolakan dalam siri kali ini.

Ali dibawa ke dunia pinggiran Cyberaya yang dipenuhi golongan tertindas. Dia terpaksa membuat pilihan sukar antara kesetiaan kepada MATA atau mencari kebenaran yang lebih besar bukan sahaja untuk dirinya tetapi rakannya.

Berjuang Demi Legasi Ibu

Dalam musim ketiga Ejen Ali, Ali berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan MATA selepas dia dilucutkan tugas sebagai pengendali IRIS. Hukuman tersebut adalah akibat tindakan Ali disamping Niki yang menggugat ketenteraman Cyberaya.

Dia diberi peluang untuk menyertai pertandingan Arena MATA bersama rakan-rakan ejen muda. Namun, persaingan semakin sengit apabila empat ejen antarabangsa turut menyertai pertandingan ini.

Tanpa pengetahuan mereka, pertandingan tersebut direka khas untuk melantik pengendali baharu IRIS. Apabila Ali mendapat tahu bahawa ibunya Aliya merupakan salah seorang pemenang pertandingan Arena MATA yang lampau dan juga pencipta IRIS, dia nekad berjuang untuk membuktikan kemampuannya dalam pertandingan ini.

Sementara itu, konflik semakin meruncing apabila Rizwan muncul kembali dan bekerjasama dengan bekas ahli Numeros untuk menghentikan Cinco daripada meneruskan legasi Uno yang berbahaya. 

Sudahkah anda bersedia? Pastinyakerja Ejen belum selesai. Misi harus diteruskan di pawagam-pawagam terdekat bermula 22 Mei 2025 ini bersama Ejen Ali The Movie 2!

 

 

Scroll to Top