Penyanyi dan penulis lirik, Bunga tampil menyentuh hati peminat menerusi lagu terbaru berjudul ‘MeMAHAmi’ yang kini boleh distrim di semua platform digital.
Lagu yang hadir dengan muzik video rasmi yang dirakam sepenuhnya di Jepun ini telahpun dilancarkan pada 16 Mei 2025 melalui saluran YouTube rasmi Warner Music Malaysia.
Dengan latar semula jadi yang memukau seperti Tasik Motosu, Tasik Shoji, dan Gunung Fuji, muzik video ini turut menampilkan babak di Shibuya Crossing iaitu simbol kepada kekeliruan dan pencarian makna kehidupan di kota moden.
Mengangkat tema keinsafan, pencarian diri dan hubungan spiritual, dibalut dalam lirik puitis dan susunan muzik minimalis yang menyerlahkan vokal penuh emosi Bunga.
Lagu ini adalah cerminan kepada dialog jiwa antara manusia dan Sang Pencipta yang juga merupakan sebuah doa dalam bentuk karya seni.
Bukan itu sahaja, lagu ini merupakan hasil kolaborasi Amzar Sabri (penerbit & komposer), Bunga, Amir Hassan, serta Sabbala (adunan & mastering).
Manakala, liriknya yang difokuskan kepada kejujuran dan kerentanan jiwa yang tulus pula ditulis oleh Bunga dan Amzar.
Sarat dengan simbolik
Diarah, dirakam dan disunting oleh Takeemgraphy, muzik video ini tidak hanya sekadar visual tetapi juga sebuah pengalaman rohani.
Gunung Fuji melambangkan keagungan Tuhan, manakala babak misteri di penghujung video memberi isyarat ini mungkin hanya permulaan.
Dalam muzik video tersebut, Bunga turut mengenakan busana kurung berpotongan moden oleh Lily Samsuddin, menyerlahkan gabungan klasik dan kontemporari dalam gaya serta ekspresi seninya.
“Lagu ini adalah refleksi kepada fasa hidup yang sangat peribadi buat saya.
“Ia ditulis ketika saya rasa paling hilang arah dan melalui lagu ini, saya berbicara dengan Tuhan, memohon petunjuk,” katanya.
Justeru, dengan single ini, Bunga sekali lagi membuktikan dirinya sebagai seorang artis dengan kepekaan tinggi terhadap emosi, seni dan spiritualiti.
Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi sebuah pelawaan untuk pendengar menyelami hati mereka sendiri.