Sepang: Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Abd Zarin Mohd Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran palsu menerusi aplikasi media sosial pada November lepas.
Abd Zarin, 74, atau lebih dikenali sebagai Sang Kelembai selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, penulis blog Sang Kelembai itu didakwa menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun atas nama Zaharin Mohd Yasin dengan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat palsu pada 4.42 petang 9 November tahun lepas.
Hantaran itu kemudian dilihat pada 9 malam hari sama di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Cyberjaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC Faten Hadni Khairuddin mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Sureshmurti Ramani merayu anak guamnya diberi jaminan rendah, iaitu RM7,000 kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap, mempunyai dua tanggungan dan menghidap penyakit kencing manis kronik serta darah tinggi.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 April.
© New Straits Times Press (M) Bhd



