Penumpang dakwa pembantu juruterbang cuba hempaskan pesawat menuju Israel

Penumpang dakwa pembantu juruterbang cuba hempaskan pesawat menuju Israel

Tabuk, Arab Saudi: Seorang penumpang pesawat flydubai yang dialihkan laluannya dan sepatutnya menuju ke Tel Aviv mendakwa salah pembantu juruterbang cuba menjatuhkan pesawat.

Dia mendakwa tindakwa pembantu juruterbang itu cuba membunuh semua penumpang selepas kedua-dua juruterbang ditemui mengalami kecederaan ketika pesawat mendarat di Arab Saudi.

Dalam ulasan pertama daripada seorang pegawai, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, mendakwa kejadian itu sebagai cubaan serangan ‘pengganas’, namun tiada penumpang dilaporkan cedera.

Pesawat flydubai itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Tabuk pada jam 9.45 pagi waktu tempatan (6.45 pagi GMT), dan kedua-dua kapten serta kopilotnya ditemui mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital, menurut kenyataan syarikat yang mengendalikan lapangan terbang berkenaan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu sebelum ini berkata, penerbangan FZ1073 mengalami insiden ketika dalam perjalanan sebelum pesawat mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tabuk dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat serta dikenal pasti.

Menurut data laman web Flightradar, pesawat berkenaan tiba-tiba kehilangan altitud ketika penerbangan, menjunam daripada hampir 34,000 kaki pada jam 5.21 pagi GMT kepada kurang 17,000 kaki seminit kemudian.

Penumpang, Miryam Shira Ohayon, berkata pesawat itu “hampir tidak dapat dikawal” ketika salah seorang juruterbang cuba menikam seorang lagi ketika mereka berada di ruang udara Jordan dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv.

“Jadi, pembantu juruterbang cuba membunuh juruterbang dan pada dasarnya melakukan cubaan serangan bunuh diri menggunakan pesawat itu,” katanya kepada pemberita melalui telefon pembesar suara yang dipegang ibunya ketika menunggu di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.

Katanya, pesawat itu “hampir terhempas” dan keadaan hanya dapat dikawal selepas beberapa penumpang bertindak menahan pembantu juruterbang berkenaan.

“Ketika itu ada seorang doktor yang memberikan pertolongan cemas dan orang ramai merawat kedua-dua mereka. Selain juruterbang, tiada kecederaan dilaporkan, tetapi kebimbangan terbesar adalah pesawat akan terhempas, yang memang cuba dilakukannya,” katanya.

Beberapa media Israel melaporkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua juruterbang, dipercayai menyebabkan isyarat kecemasan diaktifkan.

Media Israel turut melaporkan dua juruterbang lain berada dalam pesawat sebagai penumpang dan mereka mengambil alih kawalan pesawat bagi melakukan pendaratan kecemasan di Arab Saudi.

Di Lapangan Terbang Ben Gurion, ahli keluarga berkumpul menunggu kepulangan insan tersayang.

Sebelum itu, ibu Ohayon, Yasmin Abukasis, memberitahu AFP bahawa anaknya menghubunginya dari Arab Saudi.

“Dia berkata seorang juruterbang cuba membunuh seorang lagi menggunakan pisau. Mereka terdengar jeritan,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi penumpang masuk ke kokpit dan “melihat banyak darah” sebelum menjerit meminta bantuan dan beberapa penumpang masuk untuk menahan lelaki berkenaan.

“Pada masa sama, pesawat mula menjunam dengan sangat pantas. Orang ramai menyangka mereka akan mati,” katanya.

Dia berkata, dua lagi juruterbang yang berada di bahagian belakang pesawat kemudian mengambil alih kawalan.

Syarikat penerbangan dan pihak berkuasa negara terbabit belum memberikan butiran mengenai kejadian dalam pesawat atau kewarganegaraan kedua-dua juruterbang itu.

Bagaimanapun, beberapa media Israel melaporkan seorang daripada mereka adalah warga Oman manakala seorang lagi warga Emiriah Arab Bersatu.

Penyiar awam Israel, Kan, dan Channel 12 melaporkan tentera Israel mengerahkan jet pejuang selepas timbul kebimbangan kemungkinan berlaku kejadian rampasan pesawat.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan memantau perkembangan.

Ketika dihubungi AFP, tentera Israel berkata pihaknya “sedang memeriksa” laporan berkenaan.

Meir Zohar, bapa kepada penumpang bernama Ido Zohar, berkata anaknya menghantar mesej bahawa dia selamat tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

“Kami mendengar apa yang berlaku di udara Abu Dhabi melalui berita,” katanya.

“Dia memberitahu semuanya baik-baik saja, tetapi tidak banyak yang diceritakannya.”

Media Israel, memetik sumber tanpa nama, melaporkan penumpang bertindak meleraikan pergaduhan antara kedua-dua juruterbang, selain menyiarkan gambar seorang penumpang yang memakai baju-T berlumuran darah.

Channel 12 melaporkan pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada salah seorang juruterbang cuba membunuh diri dengan menjatuhkan pesawat, manakala seorang lagi juruterbang dipercayai campur tangan untuk menghalang tindakan itu.

Wartawan AFP di Tabuk melihat kawalan keselamatan ketat berhampiran lapangan terbang, dengan beberapa kenderaan polis dan sebuah ambulans ditempatkan di terminal.

Dalam beberapa foto yang dihantar kepada AFP oleh penumpang, penumpang termasuk kanak-kanak dilihat berkumpul di ruang menunggu lapangan terbang, dengan sebahagian daripada mereka duduk di atas lantai.

Seorang lelaki pula dilihat memakai kemeja-T putih dan seluar jeans yang berlumuran darah.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di Asia Barat susulan perang serantau yang tercetus pada penghujung Februari selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Ia juga berlaku menjelang pilihan raya Israel yang sengit dan dijadual berlangsung pada penghujung Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top