Guatemala City: Seorang penumpang pesawat kecil dari Belize terpaksa menembak mati warga Amerika Syarikat (AS) yang bersenjatakan pisau dan cuba merampas pesawat itu.
Pesuruhjaya Polis Chester Williams berkata, suspek yang maut itu mengancam juruterbang selepas pesawat Cessna Grand Caravan dari Tropic Air berkenaan berlepas dari bandar Corozal, pada waktu pagi.
Ketika kejadian, pesawat membawa 14 penumpang.
“Pesawat menuju ke pulau San Pedro di Belize, tetapi lelaki itu mengarahkan juruterbang untuk ke luar negara.
“Pesawat itu berlegar di atas lapangan terbang antarabangsa Belize City sebelum mendarat ketika ia hampir kehabisan minyak, di mana suspek itu menikam dua penumpang,” katanya kepada berita Channel 5.
Menurut pegawai dan media tempatan, seorang penumpang mempunyai senjata api berlesen terpaksa menembak mati penyerang itu bagi menyelamatkan keadaan.
Polis mengenal pasti penyerang itu sebagai warga AS yang juga bekas tentera, Akinyela Sawa Taylor, 49.
Penumpang yang cedera dibawa ke hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd