Penunggang basikal maut dirempuh MPV berhampiran hospital

Penunggang basikal maut dirempuh MPV berhampiran hospital

am@hmetro.com.my

Kuantan: Lelaki maut apabila basikal ditunggangi dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Besar, berhampiran Hospital Tengku Ampuan Afzan,(HTAA) di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan berlaku kira-kira 1 petang, ketika mangsa Mohd Nazrul Shairil Husin, 44, berbasikal melintas jalan di hadapan hospital terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dirempuh kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun, dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Tanah Putih.

“Sebaik kenderaan itu tiba di lokasi kejadian, sebuah basikal ditunggangi mangsa secara tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri jalan menyebabkan perlanggaran berlaku.” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Adli berkata, akibat kemalangan, penunggang basikal parah dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun katanya, mangsa, Mohd Nazrul Shairil berasal dari Tanjung Api, di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.50 petang ketika dirawat.

“Polis meminta kerjasama saksi kejadian tampil membantu siasatan.” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top