Penunggang basikal maut terperosok bawah treler, terjatuh lepas langgar lubang

Penunggang basikal maut terperosok bawah treler, terjatuh lepas langgar lubang

am@hmetro.com.my

Kulai: Seorang penunggang basikal warga Singapura dilaporkan maut selepas terperosok di bawah treler dalam insiden dekat Jalan Gunung Pulai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan yang membabitkan penunggang basikal dan treler jenis Hanvan itu jam 9.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang basikal yang juga lelaki warga Singapura berusia 42 tahun itu sedang berbasikal dengan tiga lagi penunggang basikal, terlanggar lubang sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Pemandu treler iaitu lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar batu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, akibat dari kemalangan itu, penunggang basikal parah di kepala dan

disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler tidak cedera.

“Mayat penunggang basikal itu dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk bedah siasat,” jelasnya.

Tan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Tan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 17 saat yang dirakam pemandu treler terbabit yang memaklumkan terdapat seorang penunggang basikal berada di bawah trelernya yang sudah diberhentikan di kawasan berkenaan.

Dakwa lelaki yang merakam video berkenaan, penunggang basikal itu dikatakan terlanggar lubang dan terjatuh, sebelum trelernya yang tidak sempat mengelak, melanggar penunggang basikal terbabit.

Terdapat sebuah lagi video berdurasi 30 saat dipercayai dirakam seorang pemandu lori dari laluan bertentangan, mendakwa lalu lintas di kawasan itu sedang sibuk kerana waktu puncak.

“Aduh, habislah, siapa ajar bawa basikal ‘time-time’ waktu kemuncak, aduhai…. Waktu kemuncak kau main tengah-tengah jalan, habislah… Allahuakbar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top