
Lelaki ditahan susulan pil terlarang berkenaan. Ukiran pada pil terlarang berkenaan. (Foto Khaosod)
BANGKOK – Seorang penunggang motosikal ditahan polis Thailand selepas didapati memiliki 59 biji pil ecstasy dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya di Lat Phrao, Bangkok.
Menurut laporan media tempatan, lebih mengejutkan apabila pihak polis mendapati terdapat ukiran menyerupai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada pil terlarang itu.
Suspek dikenali sebagai Ekarin atau Diao, 35, ditahan pada 21 Julai lalu oleh sepasukan polis yang diketuai Komander Biro Polis Metropolitan, Leftenan Kolonel Siam Boonsom, bersama Timbalan Komander Mejar Jeneral Phallop Aermla dan Ketua Balai Polis Chokchai, Kolonel Phontawee Somwong.
Penahanan dibuat di sekatan jalan di kawasan Saphan Song, Wang Thonglang, selepas suspek dilihat cuba melarikan diri ketika menghampiri sekatan berkenaan.
Menurut Kolonel Phontawee, ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif methamphetamine iaitu sejenis dadah sintetik yang dikawal di bawah undang-undang Thailand.
“Hasil siasatan awal mendapati dadah itu diperoleh untuk kegunaan sendiri. Tiada bukti menunjukkan suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Suspek kini disiasat atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah kategori satu (methamphetamine/ecstasy) tanpa kebenaran serta menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.
Dia kemudiannya dibawa ke Balai Polis Chokchai bersama barang bukti untuk tindakan lanjut.