am@hmetro.com.my
Kulai: Penunggang motosikal cedera akibat dipukul lelaki yang memandu kereta secara melulu di kawasan bulatan lebuh Putra Utama Bandar Putra di sini, kelmarin.
berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan akibat dipukul pemandu sebuah kereta yang memandu secara melulu di
kawasan bulatan lebuh Putra Utama Bandar Putra di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 5.45 petang pada 3 April lalu.
Katanya, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu suspek mengubah laluan secara tiba-tiba dan nyaris merempuh kenderaan mangsa.
“Mangsa mengetuk cermin tingkap kenderaan suspek menyebabkan lelaki berkenaan tidak berpuas hati dan memberhentikan kenderaannya secara mengejut di tengah bulatan Lebuh Putra Utama di hadapan motosikal mangsa sehingga memaksanya berhenti secara mendadak.
“Seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan itu kemudian turun dan terus menendang motosikal mangsa menyebabkannya terbalik.
“Mangsa turut dipukul di kepala dan badan dengan tangan oleh suspek sebelum beberapa pengguna jalan raya hadir membantu meleraikan pergaduhan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 11.30 malam semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan lelaki yang terbabit dalam kejadian itu di kediamannya di Senai.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula 5 hingga 8 April bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline di talian 07-6632222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Teo Feng Shun di talian 017-7759106,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




