Penunggang motosikal lawan arus 'rehat' atas bonet kereta selepas kemalangan.

Penunggang motosikal lawan arus 'rehat' atas bonet kereta selepas kemalangan.

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Tindakan seorang penunggang motosikal melawan arus membawa padah apabila terbabit kemalangan dengan kereta sebelum aksinya ‘berehat’ di atas bonet kenderaan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan 10.30 malam di Jalan Masai Lama di sini itu membabitkan motosikal Honda Wave ditunggangi lelaki warga asing berusia 22 tahun dengan kereta Volkswagen GTI dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Semasa kejadian kereta itu yang berada di lorong kanan sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Permas Jaya menghala ke Taman Desa Jaya.

“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, secara tiba-tiba datang motosikal dari arah bertentangan secara menyongsang hingga berlaku pertembungan antara keduanya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Terdahulu tular rakaman papan pemuka kereta dengan video berdurasi 31 saat memaparkan aksi penunggang motosikal berbaring dalam keadaan mengiring tanpa membuka mata seakan tidur atas bonet kereta berkenaan selepas kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top