Penunggang motosikal maut bertembung trak polis bawa 29 banduan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Motosikal mangsa diseret kira-kira 10m, yang menyebabkan trak polis itu terbakar hampir 80% dan mengalami kemusnahan teruk di bahagian enjin. (Gambar Twitter)

KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung sebuah trak polis membawa empat anggota polis dan 29 banduan di Kampung Demit, Kubang Kerian.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Muhammad Khalis Mifzal Mohd Kamal, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC merempuh sebuah kereta Proton Saga dan hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Trak polis itu yang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa ke pusat kuarantin Covid-19 di Batu Jong, Kuala Krai dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum menggilis sehingga menyebabkan mangsa terperosok di bawah trak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Rentetan kejadian itu, katanya, motosikal mangsa diseret kira-kira 10m yang menyebabkan trak polis itu terbakar hampir 80% dan mengalami kemusnahan teruk di bahagian enjin.

“Bagaimanapun, empat anggota polis dan 29 banduan sempat diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan,” katanya sambil menambah semua tahanan dipindahkan ke trak lain yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu.

Shafien meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang saksi, Zizah Yusoff, 51, berkata ketika kejadian, beliau sedang melayan pelanggan di kedai makannya dan melihat api di bawah trak polis, selain turut mendengar bunyi letupan kecil.

“Kebetulan ketika itu trak polis berkenaan berhenti di hadapan kedai dan saya terus memberitahu polis, ada api di bawah kenderaan mereka. Anggota polis terus turun dan membawa keluar semua tahanan yang ada di dalam trak.”