Penunggang motosikal maut kemalangan di Kampung Pandan

Penunggang motosikal maut kemalangan di Kampung Pandan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Pandan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 8.30 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang sedang bergerak lurus di lorong kiri dipercayai melanggar bahagian sisi kanan kereta yang keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

Katanya, susulan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan cedera parah di kepala dan badan sebelum dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan HKL. Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dan penumpang dalam kereta tidak cedera.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran mendapati pemandu kereta datang mengambil rakan di situ sebelum mahu bergerak keluar menuju ke Damansara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta sudah ditahan, semalam dan hasil ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) serta ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya mendapati dia negatif alkohol dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top