Penunggang motosikal maut kemalangan di Lebuhraya SUKE

Penunggang motosikal maut kemalangan di Lebuhraya SUKE

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah treler di Kilometer 1.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), dari arah Desa Tun Razak menghala ke Sri Petaling, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT-15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Desa Tun Razak menuju ke Sri Petaling.

Menurutnya, ketika melalui satu selekoh, motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggang lelaki berusia 31 tahun di lorong kiri dan datang dari arah sama.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah lebuh raya.

“Seorang pemandu lori treler berusia 41 tahun yang datang dari arah sama gagal mengelak dan membrek lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Katanya, penunggang motosikal kedua serta pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top