faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah kereta, sebelum tercampak di atas jalan dan dirempuh sebuah lagi kereta di Lebuhraya Persekutuan menghala ibu negara dekat Petaling Jaya, petang tadi.
Dalam kejadian membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss, Toyota Vios dan Perodua Bezza jam 5.10 petang itu, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu terlanggar sebelah kiri depan Toyota Vios yang dipercayai menukar laluan dari lorong paling kanan ke lorong kiri sebelum susur kawasan perindustrian bebas.
“Ia menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kiri jalan dan pada masa sama, Perodua Bezza yang melalui lorong itu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang terbaring di atas jalan.
“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




