rnoraina@hmetro.com.my
Ampang: Tindakan penunggang motosikal yang dipercayai mengubah haluan secara tiba-tiba menjadi punca kemalangan dua kenderaan lain di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat sebuah pasar raya di Pandan Prima di sini, pada Selasa lalu.
Kejadian kemalangan membabitkan kereta Honda Civic dan Perodua Ativa yang dirakam kamera papan pemuka kenderaan itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku jam 2.47 petang pada 1 Julai lalu.
“Siasatan mendapati tiga kenderaan iaitu motosikal p-hailing dan dua kereta terbabit dari arah Pandan Jaya ke Cheras.
“Semasa tiba di lokasi penunggang secara tiba-tiba mengubah haluan dari lorong tengah ke kiri untuk membelok masuk ke simpang di kiri jalan.
“Tindakan terburu-buru penunggang itu menyebabkan pemandu Honda Civic membrek untuk mengelak melanggar penunggang terbabit sebelum pemandunya terlanggar sebuah kereta di hadapannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kerosakan pada kenderaan terbabit namun tiada kecederaan dilaporkan.
Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 6(1) LN 166/59.
Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat, berhemah, bertolak ansur dan bijak serta mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd