JOHOR BAHRU: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual dan onani dengan kekasih bawah umur dalam sebuah kereta di kawasan pangsapuri di Kulai, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Haziq Jemain, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Thalha Bachok @ Embok Mok, di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat di sebuah IPTA di Selangor itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh payudara pelajar perempuan tingkatan satu tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan onani di hadapan mangsa sama yang berusia 13 tahun.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta Perodua Axia pada pukul 11.40 pagi di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Kulai, 15 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Isa Mohamad Basir.
Nor Fadilah memohon tiada jaminan ditawarkan, namun jika atas budi bicara mahkamah, pihaknya menawarkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin, perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Namun, Mohamad Isa memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan tertuduh masih belajar dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapanya yang bekerja sebagai seorang guru dan peniaga.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM14,000 dengan seorang penjamin, perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran, tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. – UTUSAN