Penuntut IPTS tunjuk samseng atas jalan ditahan

Penuntut IPTS tunjuk samseng atas jalan ditahan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Polis hari ini menahan penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS), disyaki memukul dua individu menggunakan kunci stereng kereta di jalan raya dekat pekan Dengkil.

Video kejadian itu turut tular selepas dimuat naik di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Shan Gopal Karpal berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas seorang daripada mangsa membuat laporan pada 12.17 tengah hari.

Katanya, mangsa mendakwa kejadian berlaku pada 11.50 pagi yang menyebabkan mereka cedera di kepala dan tangan.

“Siasatan awal dapati motif kejadian kerana suspek tidak puas hati dengan mangsa semasa masing-masing memandu dari kawasan Air Itam menghala Dengkil.

“Polis turut merampas satu kunci stereng yang digunakan untuk mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shan Gopal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan berkongsi maklumat tidak benar berhubung kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top