Penuntut kolej maut kemalangan selepas pulang rumah terbuka

Penuntut kolej maut kemalangan selepas pulang rumah terbuka

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Seorang penuntut kolej meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Paku, Lendu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, mangsa, Mohammad Adam Muqris Mohd Fairus, 19, yang juga pelajar Semester 2, Sijil Landskap di Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya dengan menunggang motosikal SYM 185, selepas menghadiri majlis rumah terbuka pensyarahnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, mangsa dipercayai bergerak dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah, manakala Proton Wira dipandu lelaki berusia 45 tahun datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian iaitu jalan satu lorong dua hala dan berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal yang ditunggangnya terseret ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah Proton Wira yang datang dari arah hadapan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, KKMT dalam hantaran di Facebook rasminya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah yang juga Exco Promosi dan Data, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

“…pengarah dan seluruh warga KKMT mengucapkan salam takziah kepada keluarga almarhum.

“Semoga roh saudara Mohammad Adam Muqris dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” menurut hantaran berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top